Hanya sesi pembentangan akademik, tiada elemen hina agama - UiTM

Hanya sesi pembentangan akademik, tiada elemen hina agama – UiTM

TANGKAP layar video tular itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Video tular penuntut berkostum ala ‘White Supremacist’ di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dengkil hanya sesi pembentangan akademik dan tiada sebarang elemen penghinaan agama.

 

UiTM menerusi kenyataan berkata, rakaman video itu melibatkan penuntut pusat Asasi UiTM kampus berkenaan bagi kursus ‘Contemporary Global and Legal Issues’.

 

Katanya, tugasan itu bertujuan menggalakkan pemikiran kritikal dan kesedaran terhadap isu hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.

 

“Dalam sesi itu, penuntut membentangkan isu diskriminasi kaum berasaskan warna kulit yang merupakan pelanggaran hak asasi pernah berlaku di beberapa negara.

 

“Kostum dan elemen visual yang digunakan membantu meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap pembentangan topik serta memberi gambaran menyeluruh dari perspektif sejarah dan global,” katanya hari ini. 

 

Menurut kenyataan itu, pendekatan visual yang digunakan juga sebahagian kaedah pedagogi bagi menyokong penyampaian berimpak tinggi dalam kelas selaras objektif kursus dalam mendorong pemikiran analitik serta kesedaran sivik penuntut.

 

Tegasnya, pensyarah dan pihak fakulti turut memastikan pembentangan dijalankan secara terkawal dan berlandaskan prinsip akademik.

 

“Ia tanpa menyentuh sebarang sensitiviti berkaitan agama, budaya mahupun perkauman. Sebagai makluman, tiada sebarang elemen penghinaan terhadap mana-mana agama disebut atau dibincangkan sepanjang sesi itu berlangsung,” ujarnya.

 

Tambah kenyataan itu, UiTM sentiasa menitikberatkan nilai sejagat seperti toleransi, hormat menghormati dan kepekaan antara budaya dalam semua aktiviti akademik dan kokurikulum.

 

“Kami berharap penjelasan ini dapat memperjelaskan keadaan sebenar dan menamatkan salah tafsir terhadap tugasan yang dijalankan. 

 

“Semua pihak diharap menilai perkara itu dalam kerangka akademik dan selaras semangat pendidikan inklusif dan dinamik yang menjadi tunjang pengajian tinggi negara,” katanya.

 

Semalam, tular sebuah video di media sosial memaparkan sekumpulan penuntut berarak dengan berpakaian kostum menyerupai satu kumpulan pelampau agama sehingga mendapat kritikan netizen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya