Hanya Najib terima duit 1MDB

Hanya Najib terima duit 1MDB

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas pegawai penyiasat Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa tiada mana-mana ahli pengurusan tertinggi syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menerima sebarang faedah daripada penyelewengan dana yang berlaku di syarikat terbabit.

Sebaliknya, Senior Asisten Komisioner R. Rajagopal memberitahu, berdasarkan siasatannya dan dijalankan oleh agensi penguatkuasaan yang lain jufa mendapati bahawa jutaan ringgit telah masuk ke dalam akaun peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sepanjang siasatan pihak polis dan juga maklumat yang diterima daripada pasukan petugas khas (yang turut menyiasat penyelewengan dana 1MDB), kami tidak menerima sebarang bukti yang menunjukkan Azmi (bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir), Hazem (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd. Hazem Abdul Rahman) dan Shahrol (bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi) telah menerima wang daripada dana 1MDB berbanding Najib,” kata saksi itu.

Menurut naratif pembelaan, individu-individu yang dinamakan dikatakan telah bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low untuk menipu Najib dan 1MDB untuk mendapatkan sejumlah RM2.3 bilion dana milik syarikat pelaburan strategik negara itu.

Rajagopal turut memberitahu berdasarkan bukti yang diperoleh termasuk dokumen komunikasi dan perbankan, beliau mendapati Good Star Limited, Jho Low, Prince Faisal, Prince Saud, Blackstone dan Najib tidak mempunyai apa-apa kaitan atau urusan perniagaan dengan 1MDB yang mewajarkan mereka menerima wang daripada 1MDB.

Saksi pembelaan ke-11 itu berkata demikian ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P. Kunyalam di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Pada prosiding terdahulu, saksi berkenaan memberitahu bahawa Najib telah menjadi suspek dalam siasatan kes penyelewengan dana itu selepas didapati terdapat aliran wang masuk ke dalam akaun peribadinya yang berpunca daripada wang yang diselewengkan.

Berdasarkan afidavit Rajagopal, sejumlah AS$5 juta dan AS$25 juta telah dipindahkan ke dalam akaun Ambank 9694 milik bekas Ahli Parlimen Pekan itu, masing-masing pada 30 Oktober dan 19 November 2012.

Wang tersebut dipindahkan daripada akaun milik Blackstone Asia Real Estate Partners Ltd. (Blackstone) ditubuhkan oleh Jho Low bagi menyerupai sebuah firma ekuiti hartanah persendirian, Blackstone Real Estate dalam konspirasi mengaut berjuta-juta dolar daripada 1MDB.

Selain itu, afidavit bekas pegawai polis itu turut menyatakan bahawa pergerakan wang dari Good Star ke akaun Bank Riyad milik Putera Faisal dan Putera Saud yang kemudiannya berakhir ke dalam akaun Ambank Najib mempunyai unsur unsur pengubahan wang haram.

Good Star merupakan syarikat milik Jho Low dan siasatan mendapati syarikat terbabit menerima AS$700 juta daripada jumlah AS$1 bilion yang sepatutnya dibayar bagi tujuan pemerolehan 40 peratus saham dalam projek usaha sama (JV) dengan PetroSaudi International Ltd (PSI).

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya