PETALING JAYA: “Teka siapa yang alah dengan sinaran matahari?”
Demikian kata pelakon dan usahawan, Hanis Zalikha yang berkongsi dirinya mengalami alahan terhadap sinaran matahari ketika bercuti di Soneva Jani, Maldives.
Menurut Hanis, alahan itu tidak menghalangnya untuk terus meluangkan masa bersama keluarga dengan melakukan aktiviti luar.
“Tetapi saya sangat suka mengembara dan aktiviti luar,” katanya dalam hantaran Instagram Story.
Dalam masa sama, isteri kepada aktor, Hairul Azreen itu memberitahu dia akan mengambil ubat untuk meredakan simptom alahan tersebut.
“Jadi makan sahaja ubat antihistamine kalau naik gatal-gatal.
“Bengkak hanya akan surut jika saya duduk di dalam rumah,” ujarnya.
Dalam perkongsian tersebut, Hanis turut menunjukkan keadaan tangannya yang bengkak dan kemerah-merahan yang berpunca daripada alahan.