SHAH ALAM: Taktik bersembunyi di celah mesin, melarikan diri ke premis bersebelahan dan berlindung di belakang lori gagal menyelamatkan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada dicekup pihak berkuasa dalam satu serbuan mengejut di sebuah hab kurier di Seksyen 28, di sini, semalam.
Dalam operasi sekitar jam 3 petang itu, Jabatan Imigresen Selangor melancarkan serbuan khas menerusi Ops Sapu dan berjaya menahan seramai 52 warga asing berusia antara 23 hingga 45 tahun yang bekerja secara haram di premis berkenaan.
Menurut Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin, serbuan dilakukan hasil risikan terperinci berhubung kewujudan PATI yang bekerja tanpa dokumen sah di pusat pengumpulan dan pengasingan barangan tersebut.
“Sebaik anggota penguat kuasa menyerbu premis, sebahagian daripada mereka panik dan cuba meloloskan diri. Ada yang lari ke premis bersebelahan, ada yang menyorok dalam mesin dan di sebalik lori. Namun semuanya berjaya dikepung dan ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua individu terbabit tidak memiliki dokumen perjalanan sah. Mereka terdiri daripada 27 warga India, 13 warga Pakistan, 11 warga Myanmar dan seorang warga Indonesia.
Kesemua PATI yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan telah dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Semenyih bagi tindakan lanjut.
“Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi PATI. Tindakan tegas akan diambil terhadap majikan yang ingkar,” katanya. – UTUSAN