BAGAN SERAI: Sebuah gua di kawasan Bukit Putus, Jalan Trans Kerian di Gunung Semanggol di sini dikesan kembali menjadi lokasi aktiviti pemujaan dipercayai untuk memperoleh nombor ekor.
Tinjauan Utusan Malaysia dalam gua tersebut menemukan beberapa barang dipercayai digunakan untuk upacara pemujaan antaranya buah-buahan, beras pulut berwarna merah dan putih, bubur kacang hijau, bunga kekwa, tempat pembakaran bara kemenyan dan sejadah.
Menurut seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Jamali, 50, penduduk bimbang kerana gua tersebut kembali menjadi tempat pemujaan yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
Katanya, sebelum ini kegiatan khurafat memuja nombor ekor pernah berlaku dan telah dibanteras penduduk dengan memusnahkan semua barangan pemujaan yang ditemukan.
“Namun kali ini barangan yang diletakkan agak berbeza dan lebih banyak, termasuk dua helai sejadah,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, kegiatan bercanggah dengan ajaran agama itu perlu dihalang.
Tegasnya, masyarakat berharap pihak berkuasa agama negeri, polis dan jabatan berkaitan memantau kawasan tersebut terutamanya pada waktu malam.
“Saya mencadangkan agar status tanah di mana gua tersebut disahkan sama ada ia merupakan tanah persendirian atau rizab kerajaan.
“Sekiranya ia tanah milik kerajaan atau hutan simpan, pihak berwajib perlu memasang papan tanda larangan agar kawasan ini tidak terus diceroboh oleh individu tidak bertanggungjawab,” katanya.
Gua itu terletak di jalan utama dan boleh diakses dengan mudah oleh orang awam.
Beberapa batang lilin yang dipercayai digunakan dalam upacara turut ditemui melekat pada dinding gua. – UTUSAN