PUTRAJAYA: Inisiatif Grid Kuasa ASEAN (APG) yang bakal menelan belanja puluhan bilion dolar menjadi antara usaha besar rantau ini untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dan perdagangan antara negara-negara anggota.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang ASEAN dalam menjamin kestabilan tenaga, menarik pelaburan serta meningkatkan hubungan perdagangan merentas sempadan secara lebih efisien.
Beliau berkata, APG ini merupakan satu langkah strategik untuk menyatukan tenaga serantau yang akan dimulakan dengan projek kabel dasar laut dari Vietnam ke Kota Bharu, Kelantan, sebelum disambung ke grid Semenanjung dan seterusnya ke Singapura.
Anwar memaklumkan, projek itu juga membabitkan perancangan sambungan dari Batam, Indonesia, terus ke Semenanjung Malaysia, selain rangkaian kabel dasar laut dari Sarawak ke Tanjung Sedeli dan Singapura.
“(Selain itu, kita turut berbincang mengenai sambungan) dari Sarawak ke Sabah dan ke selatan Filipina. Jadi jika (berjaya direalisasikan), kita akan mempunyai satu rangkaian tenaga yang merangkumi hampir seluruh ASEAN,” katanya ketika berucap pada perjumpaan bersama warga Kementerian Kewangan bagi bulan April di sini hari ini.
Menurut Anwar, walaupun projek tersebut melibatkan kos yang tinggi, ia seiring dengan dasar peralihan tenaga dan bakal menjadi pemangkin utama dalam menarik pelaburan asing.
Dalam usaha memperkasa perdagangan serantau, Perdana Menteri turut menekankan keperluan meningkatkan fasilitasi kastam dan imigresen bagi melancarkan aliran barangan antara negara-negara jiran seperti Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina.
Kata beliau, isunya bukan soal penyeludupan, tetapi bagaimana boleh memperkemas prosedur kastam supaya lebih efisien dan mesra perdagangan.
Tambah beliau, sektor pelancongan juga boleh dimanfaatkan sepenuhnya melalui penyelarasan dasar dan kemudahan antara negara-negara ASEAN yang kaya dengan tarikan semula jadi dan budaya tersendiri.
Dalam masa sama, Anwar turut menekankan pentingnya kesalinghubungan pembayaran merentasi sempadan dan penggunaan sistem Pengendali Ekonomi Dibenarkan (AEO) bagi memudahkan transaksi kewangan dan perdagangan merentas sempadan.
Beliau berkata, integrasi digital turut diberi perhatian khusus agar manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh, termasuk di kawasan luar bandar dan desa.
“Jadi ada usaha sekarang (mendapat akses kepada teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) punya AI untuk rakyat memastikan ada kesalinghubungan dan usaha sedang digerakkan melalui kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC),” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa pendekatan ASEAN dalam pembangunan harus bersifat inklusif, bukan hanya tertumpu kepada negara maju seperti Singapura atau Malaysia.
“Laos, Kemboja dan beberapa kawasan lain masih ketinggalan. Jika kawasan ini terus terpinggir, ia akhirnya akan menjadi beban kepada negara jiran. Jadi, kita mesti angkat semua bersama demi kestabilan dan pertumbuhan serantau yang lebih seimbang,” tegas beliau. – UTUSAN