MELAKA: Seorang remaja perempuan orang kurang upaya (OKU) pembelajaran dilaporkan hilang selepas keluar bermain di taman permainan berhampiran rumahnya di Taman Rambai Idaman, Bukit Rambai di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa, Nurin Wardina Hairi, 17, dipercayai keluar rumah sekitar pukul 3 petang untuk bermain di taman permainan berdekatan, namun tidak pulang sehingga lewat petang.
“Ibu mangsa menyedari anaknya tidak pulang sekitar pukul 5.30 petang dan telah meminta bantuan penduduk taman serta suami untuk mencarinya, namun tidak berjaya menemui sebarang jejak.
“Seorang saksi di kawasan kejadian melaporkan bahawa mangsa dilihat masuk ke dalam sebuah kereta Perodua Kelisa berwarna perak secara rela, tanpa sebarang tanda paksaan. Saksi pada mulanya menyangka kenderaan tersebut milik ahli keluarga mangsa,” katanya.
Tambah Christopher, polis telah mengerahkan pasukan penyiasat untuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan taman permainan tersebut bagi mengesan pergerakan kenderaan yang disyaki.
“Kami juga sedang menjalankan siasatan untuk mengesan pemilik kenderaan tersebut dan mengumpulkan maklumat lanjut bagi membantu dalam usaha mencari mangsa.
“Mangsa kali terakhir dilihat kemeja-T hijau dan seluar panjang hitam. Beliau mempunyai ketinggian sekitar 145 sentimeter (cm), berkulit sawo matang serta berambut panjang paras bahu sedikit ikal,” tambahnya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan mangsa diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN