MELAKA: Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki melarikan remaja perempuan orang kurang upaya (OKU) berusia 18 tahun dari Taman Rambai Idaman, Bukit Rambai di sini pada 5 April lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan dilakukan pada pukul 4 pagi semalam di Jalan Jati, Sungai Petani, Kedah selepas remaja terbabit, Nurin Wardina Hairi dilaporkan hilang oleh ibunya.
“Mangsa yang mempunyai masalah pembelajaran keluar bermain di taman permainan berhampiran sebelum tidak pulang ke rumah.
“Ibunya yang berusia 47 tahun kemudian membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan anaknya,” katanya.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, seorang gadis OKU dilaporkan hilang selepas keluar bermain di taman permainan di Taman Rambai Idaman.
Katanya, siasatan mendapati, suspek berusia 40 tahun membawa mangsa menaiki kereta Perodua Kelisa dan ke beberapa lokasi termasuk Ipoh, Perak dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang sebelum ke kampungnya di Baling, Kedah.