KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar perempuan dilaporkan hilang selepas tidak berada di asrama sekolahnya dekat sini, sejak Sabtu lalu.
Pelajar tersebut, Muna Qaisara Muhammad Budiman, 15, kali terakhir dilihat memakai jubah berwarna merah hati dan tudung berwarna krim.
Ibunya, Juliana Johari, 42 berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk mencari anaknya namun menemukan jalan buntu.
“Saya merayu pertolongan orang ramai yang memiliki dashcam kereta di sekitar laluan sekolah sekitar Serada agar dapat membantu kami mengesan Muna Qaisara. Ada juga pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat palsu kononnya Muna Qaisara telah dijumpai sedangkan ia tidak benar dan hanya menambah kesedihan kami sekeluarga.
“Kami sekeluarga berharap Muna Qaisara dapat ditemukan dalam keadaan selamat secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kehilangan pelajar tersebut pada Ahad lalu.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan pelajar tersebut diminta menghubungi talian 0135714157 atau 0133092947 dan tampil ke mana-mana balai polis segera. – UTUSAN