KOTA BHARU: Pendekatan menggabungkan program Subuh Seperti Jumaat dan sambutan Hari Raya Aidilfitri boleh dianggap satu inovasi bagi aktiviti anjuran Masjid Jamek Muhammadi di sini, bersesuaian dengan statusnya sebagai masjid negeri.
Imam Besar Negeri Kelantan, Muhammad Hana Pizi Abdullah berkata, Subuh Seperti Jumaat sudah lama mendapat sambutan hangat daripada masyarakat manakala sambutan Hari Raya Aidilfitri pula dianjurkan setiap tahun.
Katanya, pendekatan menggabungkan kedua-dua program itu dilihat memberi impak besar terhadap masyarakat terutama mendekatkan mereka dengan institusi masjid.
“Ia boleh dianggap satu inovasi kerana sebelum ini, apabila disebut program sambutan hari raya atau sebagainya, kebiasaannya dianjurkan pada sebelah siang.
“Kita cuba ubah supaya program-program anjuran masjid ini boleh dimulakan seawal Subuh dan kehadiran masyarakat boleh berlanjutan ke waktu-waktu lain,” katanya ketika ditemui, semalam.
Dalam pada itu, Imam Tua Masjid Jamek Muhammadi, Hairul Azizi Mokhtar pula berharap, penggabungan dua program berkenaan disulami keberkatan pagi penghulu segala hari yang membawa kebaikan, sekali gus membasahi jiwa masyarakat dengan hidayah dan kerahmatan.
“Program Subuh Seperti Jumaat ini dimulakan sejak dua tahun lalu dan kita doakan supaya terus mendapat sambutan, malah bertambah hebat dengan pertambahan jemaah pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN