‘Friday of Anger’ ke kedutaan AS, bawa suara rakyat di Gaza

‘Friday of Anger’ ke kedutaan AS, bawa suara rakyat di Gaza

Meru
MOHD. FAKHRULRAZI MOHD. MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suara takbir dan laungan solidariti bergema di ibu negara semalam apabila lebih 500 peserta menyertai perarakan aman ‘Friday of Anger’ anjuran bersama Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia, Sekretariat Solidariti Palestin, dan Malaysian Women’s Coalition for al-Quds and Palestine (MWCQP).

Perarakan bermula dari Menara Tabung Haji menuju ke Suruhanjaya Tinggi British dan berakhir di Kedutaan Amerika Syarikat, disertai orang ramai yang membawa bendera Palestin serta sepanduk mengecam kekejaman rejim Zionis.

Wakil Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Fakhrulrazi Mohd. Mokhtar menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus menyokong kempen boikot terhadap produk yang dikenal pasti menyumbang kepada ekonomi Zionis.

Katanya, isu Palestin bukan soal politik atau agama semata-mata, sebaliknya perjuangan sejagat yang perlu disambut oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.

“Sudah tiba masanya semua ahli politik mengetepikan perbezaan dan bersatu dalam isu ini. Tidak kira bangsa atau agama, kita semua bertanggungjawab menyuarakan keadilan,” katanya ditemui pada perarakan tersebut.

Tambah Fakhrulrazi, rakyat Malaysia tidak boleh terus berpeluk tubuh menyaksikan kezaliman yang semakin berleluasa di bumi Gaza.

“Kita berkumpul hari ini bukan sekadar menunjukkan solidariti, tetapi sebagai tanda kita menolak kekejaman ini. Kita tidak boleh hanya menjadi pemerhati,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Huffaz Leadership Programme, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Nur Amni Mustafha berkata, masih ramai anak muda yang lalai dan lebih mementingkan hiburan serta trend semasa.

Katanya, tenaga dan semangat anak muda wajar dimanfaatkan untuk memperjuangkan keadilan buat saudara Islam di Palestin.

“Mahasiswa tidak seharusnya terbatas dengan isu akademik semata-mata, sebaliknya perlu aktif memberi sokongan moral kepada perjuangan rakyat Palestin.

“Anak muda perlu hadir dan rasai sendiri semangat jihad dan perjuangan ini. Kehadiran kita memberi makna besar kepada saudara kita di Gaza yang bertarung nyawa setiap hari,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya