Jarang muncul di kaca televisyen (TV), pelakon, Fendy Bakry mengakui kini dirinya lebih selektif dalam memilih naskhah sebelum menerima sebarang tawaran.
Pernah dijulang tinggi gara-gara penangan drama bersiri, Mr. Grey, pelakon berusia 37 tahun itu mengakui mahu bertukar angin untuk melakonkan genre lain selain romantik.
Menurut Fendy, dia juga tidak mahu terus dibayangi dengan watak-watak yang sinonim dengan kisah novel cinta.
“Jika ada tawaran yang datang, saya terima sahaja bergantung kepada kesesuaian jadual kerja saya. Cuma, sekarang ini saya memang elakkan untuk berlakon drama-drama romantik. Saya agak selektif sikit mengenai genre.
“Kita tahu kebanyakan naskhah dalam industri ini berdasarkan kisah novel. Banyak juga naskhah yang saya lakonkan sebelum ini berkisarkan tentang cinta contohnya seperti drama Mr. Grey.
“Sehingga hari ini orang masih panggil saya dengan nama itu. Saya mahu juga lakonkan watak lain seperti antagonis, watak jahat, yang memerlukan aksi seperti pijak orang,” katanya.
Dalam pada itu, Fendy juga meluahkan rasa kagum dengan hasil karya yang berunsurkan realistik seperti drama bersiri, Bidaah, dan Keluarga Itu terbitan penerbit prolifik, Erma Fatima.
Katanya, kedua-dua drama bersiri itu merupakan salah satu contoh naskhah yang berkualiti yang sering menjadi dambaannya.
“Penonton sekarang ini sudah pandai menilai. Kita boleh sajikan drama-drama romantik tetapi tidak boleh terlalu cliche. Contoh yang bagus adalah drama Bidaah. Rating tontonan tinggi walaupun mereka tidak menyelitkan elemen romantik yang berlebihan.
“Begitu juga dengan drama Keluarga Itu. Peminat mungkin dahagakan cerita yang mempunyai mesej dan nilai begitu. Saya pun suka sekiranya naskhah itu lebih dekat dengan jiwa rakyat.
“Saya teringin untuk terlibat dalam naskhah begitu. Dari situ saya dapat cabar diri saya untuk melakonkan genre yang berbeza,” ujarnya.
Tidak Kisah WATAK Pelakon Pembantu
Meskipun namanya kini berada di tahap yang stabil, pelakon drama Tak Sempurna Mencintaimu itu juga tidak kisah untuk menjayakan watak sokongan atau pelakon pembantu.
Tambah Fendy, selain kerjaya lakonan, dia juga perlu mencari keseimbangan masa untuk menguruskan perniagaannya.
“Berlakon itu memang minat saya. Meskipun ramai pihak yang menawarkan watak utama kepada saya, saya terpaksa pertimbangkan berdasarkan kesesuaian masa. Saya juga ada perniagaan yang perlu diuruskan.
“Jadi, saya tidak kisah untuk melakonkan watak sokongan. Asalkan watak tersebut juga mampu memberi impak kepada penonton.
“Saya juga tidak kisah sekiranya menjadi pelakon pembantu selagi perkara itu tidak menyusahkan pihak produksi. Saya tidak mahu sekiranya saya terima tawaran sebagai watak utama, saya tidak boleh komited dengan masa mereka,” jelasnya.
Dalam pada itu, pelakon tersebut juga tidak goyah sekiranya namanya semakin dilupakan dalam industri seni kerana lebih mengutamakan perniagaannya.
Kata Fendy, dia mempunyai strateginya yang tersendiri untuk menyusun karier lakonannya agar terus kekal relevan.
“Ramai saja artis yang sudah lama dalam industri menjalankan perniagaan sebagai sumber pendapatan sampingan mereka. Kita juga tidak tahu bila kita akan turun atau naik dalam industri ini lebih-lebih lagi apabila jumlah pelapis baharu juga sudah semakin ramai.
“Jadi pada saya, sekiranya kita sudah ada satu perniagaan yang stabil, kita tidak perlu bergantung kepada sebarang konten untuk orang terus ingat kita. Melainkan kita nak terus pasarkan diri kita.
“Mungkin jika tidak berada di dalam industri media massa, saya akan beralih ke teater. Mana yang kita rasa macam kita nak pergi, kita pergi,” katanya.