PETALING JAYA: Kekejaman memuncak oleh rejim negara haram Israel di Gaza kini bukan lagi hanya konflik semata-mata malah ia merupakan malapetaka kemanusiaan apabila bukan sahaja orang awam bahkan wartawan dan pasukan perubatan turut menjadi sasaran.
Ketika kekejaman yang kini sudah mengorbankan lebih 50,000 nyawa tidak berdosa dengan 115,000 lagi cedera, Kesatuan Ulama Muslim Sedunia (IUMS) bangkit mengeluarkan fatwa menyeru umat Islam mempertahankan rakyat Palestin termasuk dalam bentuk jihad bersenjata.
Fatwa dikeluarkan IUMS menerusi Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa itu menekankan kewajiban umat Islam di seluruh dunia untuk berjhad menyokong perjuangan rakyat Palestin dari segi ketenteraan, kewangan, politik dan undang-undang.
Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Jismi Johari berkata, pihaknya melihat fatwa itu sebagai suara hati umat Islam yang semakin kecewa dengan kekejaman tidak berkesudahan serta kegagalan komuniti antarabangsa dalam menghentikan kezaliman di Gaza.
Oleh itu, katanya, pihaknya menyeru supaya segala bentuk serangan terhadap Gaza dihentikan serta-merta dengan pembukaan laluan kemanusiaan bagi membolehkan bantuan disalurkan tanpa halangan.
Bagi merealisasikan perkara itu, katanya, perpaduan negara Islam untuk menekan Israel agar menghentikan kekejaman, termasuk mengkaji semula hubungan diplomatik dan perjanjian damai yang membolehkan kezaliman terus berlaku.
“Pada masa sama, pelaksanaan boikot menyeluruh terhadap produk dan syarikat yang menyokong atau bersekongkol dengan rejim Israel.
“Mobilisasi jihad harta (jihad mal) dengan menggalakkan rakyat Malaysia dan komuniti antarabangsa menyumbang secara langsung kepada misi bantuan kemanusiaan seperti makanan, air, ubat-ubatan dan tempat perlindungan.
“Sokongan terhadap tindakan undang-undang antarabangsa dan tekanan diplomatik ke atas mereka yang terlibat dalam jenayah perang ke atas rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya juga bimbang terhadap pembentukan Koridor Morag oleh tentera Israel iaitu sebuah zon keselamatan yang membahagikan Semenanjung Gaza kepada beberapa bahagian.
Katnya, koridor itu bukan sahaja menyekat pergerakan rakyat Palestin, malah secara langsung melumpuhkan sistem sokongan kemanusiaan dan menjejaskan penyampaian bantuan.
“Koridor tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada 2 April lalu dan dilihat sebagai sebahagian daripada usaha sistematik untuk memecahkan struktur sosial dan geografi Gaza, sekali gus menekan perjuangan rakyat Palestin untuk kemerdekaan,” katanya. – UTUSAN