FAMA atur strategi hadapi lambakan tembikai

FAMA atur strategi hadapi isu lebihan pengeluaran tembikai

KETUA Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri dan Pengerusi FAMA, Tuan Haji Amiruddin Zulkipli bergambar bersama anak-anak yatim Rumah Penyayang Darul Ilmi Gombak sempena majlis Semarak Kasih Aidilfitri bersama usahawan FAMA 2025 di bangunan FAMA POINT, Bandar Baru Selayang hari ini. GAMBAR M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAYANG: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membeli sebanyak 500 metrik tan (MT) tembikai merah dan mengaktifkan 10 pusat operasi sistem pengedaran di seluruh negara bagi mengatasi isu lebihan pengeluaran tembikai yang berlaku di peringkat ladang.

Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, langkah itu diambil sebagai tindakan segera untuk membantu petani memasarkan hasil tembikai yang dituai secara serentak berikutan cuaca panas dan jadual penanaman yang hampir sama di beberapa negeri.

Katanya, pembelian itu dibuat dalam julat harga ladang antara 85 sen hingga RM1.20 sekilogram, melibatkan nilai keseluruhan RM614,000.

“FAMA mengambil inisiatif membeli hasil terus dari ladang bagi mengelakkan petani berdepan kejatuhan harga akibat pengeluaran serentak yang menyebabkan lambakan tembikai berlaku.

“Kita juga mengaktifkan 10 pusat operasi pengedaran termasuk di Puchong, Selayang dan Air Keroh, dengan sebanyak 499,882.75 kilogram tembikai bernilai RM678,082.36 telah berjaya diagihkan ke seluruh negara,” katanya ketika ditemui pada Majlis Semarak Kasih Aidilfitri bersama Usahawan FAMA 2025, di sini hari ini.

Tambah beliau, FAMA menggalakkan petani kecil mendaftar Program Ladang Kontrak bagi menjamin harga lantai dan mengurangkan kerugian pada pihak mereka.

“Penting untuk petani kecil mendaftar dengan FAMA kerana ia dapat menjamin harga lantai sekiranya berlaku penurunan harga di peringkat ladang di bawah kos pengeluaran. Pada masa yang sama bagi mengurangkan risiko kerugian yang ditanggung oleh petani.

“Apabila mereka mendaftar, kita dapat bantu mereka dengan menyusun jadual tanaman supaya pengeluaran tidak berlaku secara serentak.

“Sebahagian tanaman juga disasarkan untuk pasaran selepas Aidilfitri bagi mengelakkan tekanan harga dan memastikan hasil diterima pasaran secara berperingkat,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan seorang petani muda di Kampung Telaga Papan, Setiu, Terengganu terpaksa melelong tembikai pada harga RM1 sebiji bagi menampung kos tanaman dan mengelakkannya rosak di ladang.

Petani tersebut, Muhammad Hanafi Sani, 24, berkata, usaha itu dilakukan bagi memperoleh sedikit pulangan selepas harga jualan jatuh mendadak.

Tambahnya, kira-kira tiga tan metrik tembikai dilelong setiap hari di tepi jalan utama kampung berkenaan manakala tembikai gred A pula hanya dijual semurah 50 sen sekilogram berbanding harga biasa sekitar RM2. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya