PETALING JAYA: Penangan watak Walid lakonan Faizal Hussein menerusi drama Bidaah terus mencuri tumpuan pengguna media sosial.
Menjadi bahan bualan sehingga ke negara seberang, Faizal atau Mohd Faizal Hussein, 57, terharu kerana menerima mesej pujian daripada penonton Indonesia yang rata-ratanya berusia 20-an dan kebawah.
“Saya rasa generasi Z Indonesia menghargai bakat dan lakonan.
“Rata-rata yang mesej saya semuanya muda. Mereka punya komen juga tertumpu kepada lakonan. Saya dapat lihat mereka menilai bakat lakonan dengan ikhlas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, dedah Pelakon Lelaki Terbaik Drama, Anugerah Skrin 2019 itu, dia juga tidak terlepas daripada menerima mesej aneh daripada pengguna media sosial yang menawarkan diri menjadi isteri.
“Awalnya saya terima mesej gurauan contohnya ada yang kata mahu jadi isteri kepada Walid.
“Tapi belakangan ini, saya sedar ia bukan gurauan lagi kerana mereka tidak lagi menggelar saya Walid, sebaliknya panggil nama sebenar saya.
“Masalahnya yang mesej ini wanita muda, anak dara. Mereka yang kacau mahu jadi ‘isteri batin’ macam watak Walid.
“Awal-awal cuak, tapi sekarang saya gelak sahaja. Pada saya kalau saya tidak layan, tidak akan terjadi apa-apa. Pelik, saya sudah sebaya atuk mereka pun mahu ganggu,” tambahnya.
Bukan sahaja Faizal, impak drama Bidaah turut membuatkan penonton mengikuti media sosial anak pelakon itu Fazryn, 20 dan Fazrick, 17.
“Bila ada yang korek balik video lakonan lama-lama dan muat naik di TikTok. Secara tak langsung, mereka jumpa juga TikTok anak-anak saya.
“Ada juga yang mesej mahukan anak-anak saya. Anak perempuan saya tiada masalah, dia tidak layan. Cuma anak lelaki saya baru tingkatan 5, tidak berapa sporting,” katanya ketawa.
Mengulas mengenai kejayaan drama Bidaah, Faizal menyifatkan produk tempatan semakin mendapat perhatian hasil tayangan di platform-over-the-top seperti Viu.
“Sebenarnya kita sudah hasilkan banyak drama begini di Malaysia cuma ia ditayangkan dalam negara kita sahaja.
“Dengan adanya platform seperti Viu, khalayak luar negara juga boleh mempunyai akses terhadap produk Malaysia,” katanya.