KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Fahmi Fadzil mengesahkan akan bertanding bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada pemilihan parti yang dijadual berlangsung Mei ini.
Menurut Fahmi, keputusan itu dibuat selepas mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama pemimpin-pemimpin parti di beberapa negeri serta menilai secara mendalam keperluan semasa parti.
“Saya telah mengunjungi beberapa negeri dan berbincang dengan ramai pemimpin. Setelah meneliti keperluan dan mempertimbangkan secara mendalam, saya buat keputusan akan bertanding jawatan MPP.
“Tujuannya adalah untuk memperkukuh parti dan memberi nafas baharu kepada kepemimpinan MPP. InsyaAllah, saya akan berusaha bersama rakan-rakan untuk menjalankan kempen secara sihat dan menzahirkan satu bentuk kepimpinan yang baharu.
“Ini penting kerana kepimpinan inilah yang akan membawa parti, bersama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, menuju Pilihan Raya Umum Ke-16,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Lembah Pantai, semalam.
Sebelum ini, Fahmi dilaporkan berhasrat untuk bertanding jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan 24 Mei ini.
Pemilihan PKR bagi peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang telah bermula pada 11 April dan akan diteruskan sehingga 20 April.
Sementara itu, pemilihan di peringkat pusat membabitkan jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) dijadual berlangsung pada 24 Mei ini. – UTUSAN