KAJANG: Murid dan pelajar sekolah diminta memakai dahulu lencana Jalur Gemilang berpin yang telah diberikan sebelum ini.
“Kita sudah beri percuma (lencana Jalur Gemilang), secara yang berpin pakai dahulu,” kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek selepas meninjau proses penyerahan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Kajang, hari ini.
Beliau mengulas pemakaian lencana Jalur Gemilang berbentuk pin oleh murid dan pelajar yang dibekalkan oleh kerajaan ketika ini.
Bagaimanapun, lencana berbentuk pin itu menimbulkan keresahan ibu bapa kerana risiko kecederaan kepada murid yang masih belum pandai mengendalikan objek tajam.
Malah, terdapat segelintir ibu bapa yang mempersoalkan aspek keselamatan kerana murid terdedah dengan kecederaan sekiranya terpijak atau terduduk atas lencana pin itu sekiranya tercabut dan tercicir.
Selain itu, penggunaan pin itu juga dikatakan boleh merosakkan pakaian sekolah sekiranya besi pin itu berkarat.
Pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar murid mula dilaksanakan sejak Selasa lalu, selepas Kementerian Pendidikan memaklumkan ia akan dilaksana secara berperingkat di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya.
Langkah berkenaan melibatkan sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru dengan objektif menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid serta warga pendidik. – UTUSAN