PETALING JAYA: Kesatuan Eropah (EU) menyatakan semula minat untuk memeterai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan ASEAN, susulan pengumuman tarif besar-besaran oleh Amerika Syarikat (AS) sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, justeru Malaysia perlu memastikan proses tersebut dapat dilaksanakan segera.
“Kita perlu bergerak segera (ke arah itu) ,” katanya ringkas dalam Forum Ilmuan Malaysia Madani Siri Lima di sini, malam tadi.
Untuk rekod, usaha untuk meneroka kemungkinan menjalin FTA secara menyeluruh antara EU dan ASEAN bermula sejak 2007.
Walau bagaimanapun, rundingan itu dihentikan pada 2009 untuk memberi laluan kepada rundingan dua hala antara EU dengan negara-negara ASEAN secara individu.
Hasil daripada pendekatan ini, EU telah berjaya memeterai FTA dengan Singapura dan Vietnam, dan sedang berunding dengan negara lain termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina. – UTUSAN