BUTTERWORTH : Dua beradik antara enam lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pemandu lori pada 6 April lalu.
Tertuduh, S. Ranjeev Ram, 26, dan adiknya, Sree Ram, 25; serta empat yang lain, S. Vimalraj, 29; M. Rubenesan, 26; P. Kesvaraj, 25, dan N. Yogeswaran, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama oleh jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Mengikut pertuduhan, keenam-enam mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang lelaki berusia 26 tahun menggunakan parang dan topi keledar yang mungkin boleh mengakibatkan kematian di sebuah rumah di Taman Bestari, Nibong Tebal dalam daerah Seberang Perai Selatan (SPS) pada pukul 3.30 pagi, 6 April lalu.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin manakala keenam-enam tertuduh diwakili peguam S.Yuvaarshana.
Terdahulu, ketika prosiding, Muhammad Rifaie tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan itu tidak boleh diikat jamin. Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada budi bicara mahkamah untuk menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 serta mengenakan syarat tambahan yang ketat sekiranya membenarkan ikat jamin dibuat terhadap kesemua tertuduh.
Yuvaarshana kemudiannya merayu jaminan minimum diberikan atas alasan kesemua anak guamnya berpendapatan kurang RM2,000 dan perlu menanggung keluarga.
“Vimalraj bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan bulanan RM1200 manakala Rubenesan bekerja sebagai penyelaras gudang dengan gaji RM1,800 dan Kesvaraj perlu menyara tiga anak serta isteri dengan pendapatan RM1,700.
“Ranjeev Ram dan Sree Ram pula sudah berkahwin mempunyai tanggung anak serta isteri dan Yogeswaran yang bekerja sebagai pemandu lori pula perlu menjaga adik OKU (orang kurang upaya) dengan dengan pendapatan RM1,500 sebulan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan masing-masing tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai. Sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Mei depan.
Media sebelum ini melaporkan, enam individu direman selepas menyerang seorang pemandu lori sehingga menyebabkan kecederaan parah di bahagian bahu, tapak tangan dan belakang badan akibat diserang dengan menggunakan parang dan topi keledar.
Difahamkan, mangsa yang sedang tidur di ruang tamu kediamannya didatangi keenam-enam suspek yang bertindak menyerangnya kira-kira pukul 3.30 pagi. Difahamkan juga, perselisihan faham antara mangsa dan suspek dikatakan menjadi punca tercetusnya serangan terbabit.-UTUSAN