NIBONG TEBAL: Enam lelaki tempatan direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes serangan menggunakan parang dan topi keledar terhadap seorang pemandu lori di Taman Bistari di sini, semalam.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Nurul Ainna Ahmad terhadap kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan umur antara 25 hingga 29 tahun itu.
Kesemua mereka yang masing-masing bekerja sebagai pengawal keselamatan, penjaga stor serta pemandu lori direman bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian itu, mangsa difahamkan sedang tidur di ruang tamu rumahnya sebelum didatangi oleh keenam-enam suspek yang bertindak menyerangnya kira-kira pukul 3.30 pagi.
Difahamkan juga, motif serangan terbabit berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan salah seorang suspek tersebut.
Akibat kejadian itu juga, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahu, tapak tangan serta belakang badan kini sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ). – UTUSAN