PETALING JAYA: Polis menahan enam lelaki kerana disyaki terlibat pergaduhan di Medan Seri Keramat, dekat sini yang dipercayai berpunca daripada provokasi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian membabitkan terbabit pada 12.19 tengah malam semalam.
Katanya, hasil siasatan mendapati rusuhan tersebut membabitkan 10 lelaki dipercayai berpunca apabila seorang daripada mereka membuat provokasi yang menyebabkan seorang lagi menghubungi rakan yang lain.
“Kejadian itu telah menyebabkan pergaduhan sehingga seorang suspek mengalami kecederaan dan mendapat rawatan di Hospital Ampang.
“Seterusnya, ketika mereka berada di Balai Polis Hulu Kelang untuk membuat laporan polis berkaitan kejadian terbabit, seorang daripadanya menumbuk muka dan menendang badan individu yang lain,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Mohd Azam berkata, polis telah menghalang dan menahan suspek terbabit kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis.
Jelasnya, seramai enam lelaki berusia 20 tahun hingga 40 tahun ditahan pada 2.30 pagi semalam dan dua daripada mereka berusia 27 tahun dan 33 tahun mempunyai rekod kesalahan lampau dadah dan jenayah.
“Reman terhadap semua suspek dibenarkan selama tiga hari sehingga 2 April ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan merujuk kepada perbuatan merusuh dan Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis,” katanya.
Terdahulu, tular video menunjukkan seorang lekaki cedera dibelasah beberapa individu dalam kejadian di perkarangan rumah di Keramat dekat sini.- UTUSAN