Empat keluarga insiden Putra Heights penghuni terawal Pangsapuri Seri Suria

Empat keluarga insiden Putra Heights penghuni terawal Pangsapuri Seri Suria

BORHAN Aman Shah (kiri) bersama pasangan suami isteri, Muhamad Ridzuwan Salehhudin dan Farihatul Syazween Azrin pada Majlis Penyerahan Kunci Penempatan Sementara Kepada mangsa Insiden Letupan Paip Gas Putra Heights di Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan Sepang- UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Empat keluarga yang juga mangsa kebakaran gas di Putra Heights menjadi penghuni terawal yang mendiami rumah ditawarkan Kerajaan Negeri Selangor menerusi Skim Smart Sewa di Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan, di sini.

Pemandu teksi, Muhammad Ridzuwan Salehhudin, 33, ketika ditemui berkata, sebelum ini, dia dan isteri Farihatul Syazween Azrim, 26, menetap di rumah mertuanya di Kampung Tengah, Puchong iaitu berdekatan lokasi insiden.

“Alhamdulillah saya bersyukur dapat bantuan rumah. Rumah di Kampung Tengah mengalami beberapa kerosakan termasuk semua cermin tingkap rosak.

“Saya anggap ini permulaan baharu untuk ada rumah sendiri. Malah, saya juga bercadang untuk terus menyewa di sini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Penempatan Sementara kepada mangsa Insiden Letupan Paip Gas Putra Heights di sini hari ini.

Muhammad Ridzuwan adalah antara empat keluarga terawal yang ditawarkan Skim Smart Sewa itu selain tiga keluarga lain ditawarkan kemudahan sama.

Sementara itu, seorang kontraktor, Abu Samah Rahmat, 58, berkata, dia memohon menyewa rumah di situ memandangkan ia lebih dekat dengan tempat kerjanya di Bangi.

“Rumah saya di Kampung Tengah rosak dalam kejadian itu. Jadi saya mohon, dan kawasan ini lagipun lebih dekat dengan tempat kerja saya di Bangi.

“Rumah saya kira-kira 150 meter dari tempat kejadian dan jika mengikut taksiran kerugian dianggarkan RM30,000. Saya akan duduk di sini bersama anak-anak, mungkin dalam tempoh enam bulan itu,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan Kerajaan Negeri menawarkan 100 unit rumah Smart Sewa di Sepang yang sebahagiannya dibiayai Kerajaan Selangor.

Selain itu, keluarga yang terjejas juga akan diberi bantuan sewaan untuk tempoh enam bulan dengan kadar RM2,000 sebulan bagi setiap rumah.

Sebelum ini juga, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kementeriannya melaksanakan tiga fasa utama bagi memulihkan kawasan terjejas kebakaran itu yang kini telah memasuki fasa pemulihan.

Insiden kebakaran saluran paip gas yang berlaku pukul 8.10 pagi pada 1 April lalu, menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Insiden itu menyebabkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya