KUALA LUMPUR: Setiap produk kayu yang dieksport mesti mempunyai sekurang-kurangnya 60 peratus nilai tambah tempatan sebelum diberikan Sijil Asal (Certificate of Origin).
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, bahan mentah dari luar negara hanya boleh diimport sebagai input pengeluaran, bukan dalam bentuk produk siap untuk dieksport semula atas nama Malaysia.
“Kita tak boleh benarkan bahan yang sudah siap dibawa masuk, terus masuk kontena dan hanya tukar sijil asal di pelabuhan sebelum dihantar ke negara lain.
“Ia tidak sah. Semua pemain industri perlu patuh dengan syarat bahawa nilai tambah mesti diwujudkan dalam negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Apresiasi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), di sini hari ini.
Johari berkata, pensijilan asal tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya kerana ia memberi kesan kepada imej dan integriti eksport negara.
“Walaupun berdepan cabaran seperti tarif Amerika Syarikat (AS), kita masih mampu mengeksport RM22.9 bilion produk kayu pada 2024.
“AS merupakan pasaran terbesar kita. Kalau kita kekalkan kualiti tinggi dan reka bentuk yang unik, pembeli tetap sanggup bayar walaupun harga lebih tinggi,” katanya.
Johari turut menyentuh cadangan Kesatuan Eropah (EU) untuk mengklasifikasi semula industri kayu Malaysia.
Beliau berkata, perkara itu telah ditangani secara profesional oleh MTIB dan pihak berkuasa berkaitan.
“Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad sudah berikan penjelasan kepada pihak EU dan mereka telah tangguhkan cadangan itu.
“Kita tekankan bahawa produk kayu kita datang dari hutan yang diurus secara mampan dan terkawal, bukan daripada aktiviti pembalakan haram,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menekankan komitmen kerajaan untuk melindungi sektor agrikomoditi daripada dasar luar yang boleh menjejaskan daya saing negara.
“Kita tidak mahu eksport hanya bergantung pada kuantiti semata-mata. Yang penting sekarang ialah kualiti dan pematuhan kepada piawaian global,” katanya. – UTUSAN