Ekonomi negara kekal kukuh, Malaysia tidak jangka kemelesetan – PM

Ekonomi negara kekal kukuh, Malaysia tidak jangka kemelesetan – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan bahawa Malaysia tidak mengalami kemelesetan ekonomi, malah kekal berdaya tahan susulan pengumuman Amerika Syarikat (AS) berhubung pelaksanaan tarif import baharu yang turut memberi kesan kepada eksport ke negara itu bermula 5 April lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, asas makroekonomi Malaysia kukuh termasuk perbelanjaan isi rumah yang memberangsangkan, pelaburan domestik yang kukuh, penerimaan pelancongan yang sihat, dan pelaksanaan pelan induk negara yang berterusan.

Menurut beliau, meskipun langkah sepihak AS tersebut disifatkan sebagai tindakan tidak adil dan bertentangan dengan prinsip perdagangan bebas, kerajaan akan terus berusaha mempertahankan kepentingan negara melalui pendekatan tenang, berhemah dan strategik.

“Malaysia tidak akan melaksanakan tarif balas. Sebaliknya, kita akan berunding secara konstruktif dengan pihak AS untuk memastikan akses pasaran kekal terbuka dan keyakinan pelabur terus terpelihara.

“Asas ekonomi kita yang kukuh akan membolehkan kita menghadapi cabaran ini dengan kekuatan dan persediaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini

Tambah Perdana Menteri, mulai 9 April, kebanyakan produk Malaysia ke AS akan dikenakan tarif setinggi 24 peratus dengan beberapa pengecualian, termasuk semikonduktor – komoditi eksport terbesar Malaysia ke negara itu.

“Namun, sektor-sektor lain seperti tekstil, perabot, getah dan plastik dijangka terkesan secara langsung akibat langkah ini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menolak dakwaan pihak AS bahawa Malaysia mengenakan tarif sebanyak 47 peratus ke atas import dari negara itu, menyifatkannya sebagai dakwaan yang tidak berasas dan berdasarkan kaedah pengiraan yang lemah.

Bagi menangani kesan jangka sederhana dan panjang terhadap ekonomi negara, beberapa inisiatif telah digerakkan termasuk penubuhan Pusat Komando Geoekonomi Negara (NGCC) yang dipengerusikan beliau sendiri.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pula akan mengemukakan kajian mendalam berkaitan kesan tarif terhadap sektor eksport utama Malaysia ke AS dalam tempoh terdekat serta mengadakan mesyuarat bersama Menteri Ekonomi ASEAN bagi merangka respons serantau.

“Jika tarif ini berkuat kuasa sepenuhnya, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus mungkin perlu dikaji semula. Namun begitu, buat masa ini, kita tidak menjangkakan berlakunya kemelesetan,” katanya lagi.

Malaysia turut menegaskan bahawa langkah AS itu bercanggah dengan prinsip asas perdagangan global di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang ironinya turut diasaskan oleh negara itu sendiri.

Perdana Menteri menegaskan, kerajaan akan terus mempercepat pelaksanaan pelan reformasi ekonomi negara seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Peta Laluan Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan usaha pengukuhan kerjasama perdagangan serantau menerusi ASEAN, CPTPP dan RCEP. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya