KUALA LUMPUR: Ekonomi ASEAN dijangka kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan kukuh melebihi empat peratus pada 2025 dan 2026, walaupun menghadapi cabaran global seperti dasar perlindungan perdagangan dan ketegangan geopolitik, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, pertumbuhan ini disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, aktiviti pelaburan yang mantap, eksport yang pulih dan keadaan pekerjaan yang menggalakkan.
“Namun, ini mengingatkan tentang risiko yang mungkin menjejaskan pertumbuhan jangka pendek dan sederhana, terutamanya akibat pengurangan perdagangan global, aliran pelaburan dan tarif timbal balik yang diumumkan oleh Amerika Syarikat (AS),” katanya kepada pemberita dalam sidang media penutupan Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 di sini.
Menurutnya, ASEAN komited untuk tidak mengenakan sebarang langkah pembalasan terhadap tarif AS.
“Di tengah ketidaktentuan global yang meningkat, beliau berkata rantau ini tetap komited untuk memperkukuhkan daya tahan kewangan dan mempercepatkan integrasi kewangan dalam ASEAN, seterusnya memupuk perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN yang lebih besar.
“Kami menggesa institusi kewangan antarabangsa untuk memberi perhatian lebih kepada risiko yang ditimbulkan oleh tarif yang tinggi terhadap ekonomi global dan untuk menyuarakan kebimbangan ini dengan lebih jelas dan tegas,” tambahnya.
Amir Hamzah berkata, ASEAN bertekad memastikan peralihan ekonomi yang adil dan teratur dengan alat yang berguna dan disesuaikan dengan keperluan rantau ini, termasuk Taksonomi ASEAN Versi 4 yang dijadualkan untuk dilancarkan pada November 2025 dan Panduan Kewangan Peralihan ASEAN Versi 2 yang disahkan.
Selain itu, Pelan Tindakan Dana Infrastruktur ASEAN (AIF) 2025–2028 telah diluluskan, manakala kemajuan dicatatkan dalam pencarian pelabur untuk Grid Kuasa ASEAN (APG).
“Buku Panduan Rantaian Nilai Hijau ASEAN dan Panduan Pendedahan ESG Ringkas ASEAN juga telah dilancarkan,” katanya.
Beliau berkata, ASEAN turut fokus mempercepatkan pertumbuhan pasaran modal, dengan Pelan Tindakan Forum Pasaran Modal ASEAN 2026–2030 akan dilancarkan pada November 2025.
“Dalam usaha meningkatkan keterhubungan pembayaran segera, pembangunan infrastruktur keterhubungan pembayaran multilateral juga telah disiapkan dan disahkan.
“Komitmen terhadap kestabilan kewangan dan integrasi ASEAN terus diperkukuhkan, dengan sokongan daripada United Kingdom untuk semakan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN,” katanya. – UTUSAN