PASIR PUTEH: Pihak yang mengendalikan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak lepas tangan berkaian isu banjir yang menghantui penduduk di sepanjang pembinaan landasan tersebut di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, beberapa siri perjumpaan dengan penduduk terlibat telah dilakukan bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu itu bermula Disember tahun lalu hingga Februari lepas.
“Kita proaktif dan mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku dan berusaha sebaik mungkin menyelesaikan isu yang dibangkitkan penduduk tempatan.
“Selain penduduk, perbincangan dengan berkuasa negeri serta Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh dilakukan bagi membincangkan perkara in,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Lawatan Kerja Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud di Stesen ECRL Pasir Puteh, di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, lebih 500 penduduk di Kampung Permatang Sungkai dan Kampung Banggol Pak Esah di sini, mendakwa banjir kilat yang sering menenggelamkan penempatan mereka berpunca daripada sistem saliran air di kawasan projek ECRL yang tersumbat sejak setahun lalu.
Dakwa penduduk, masalah itu menyebabkan mereka sudah berdepan banjir kilat sebanyak tiga kali pada tahun ini setiap kali hujan lebat.
Seorang penduduk, Mohd. Nazrul Kamal Mohd. Nawawi, 41, mendakwa saiz pembetung air yang kecil dan kerap kali tersebut serta tidak diselenggara dengan baik menjadi punca kepada masalah tersebut.
Berdasarkan rekod, Projek ECRL bakal beroperasi pada Januari 2027 melibatkan jarak jajaran 665 kilometer mampu memberi banyak manfaat kepada rakyat dan negara.
Sebanyak 20 buah stesen bermula dari Tunjong, Kota Bharu ke Pelabuhan Klang, Selangor menghubungkan bandar raya, bandar-bandar dan taman-taman perindustrian dengan rel berkelajuan 160 kilometer sejam menerusi projek itu. – UTUSAN