KUALA TERENGGANU : Kerajaan Negeri Terengganu bakal memiliki Terminal Regasifikasi Gas Asli Cecair (LNG) pertama di Malaysia yang dijangka beroperasi pada 2028.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, projek itu dibangunkan oleh entiti swasta.
Katanya, ia beroperasi di bawah rangka kerja Third Party Access (TPA) yang terletak di kawasan perindustrian Teluk Kalong, Kemaman.
“Di bawah skim ini, terminal menggunakan rangkaian Peninsular Gas Utilisation (PGU) dengan persetujuan Petronas bagi pengagihan akhir gas ke industri dan pelanggan utiliti di Pantai Timur dan sekitarnya.
“Projek ini kini berada di peringkat akhir bagi mendapatkan lesen operasi daripada Suruhanjaya Tenaga selain aspek pelaksanaan, pematuhan alam sekitar (EIA) dan keperluan infrastruktur. Salah satu rakan strategik penting dalam projek ini ialah Menteri Besar Inc. (MBI) yang menjadi rakan pemegang ekuiti dan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC),” katanya dalam sesi penggulungan di Persimpangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini. – UTUSAN