KUALA TERENGGANU : Kerajaan negeri perlu mengambil langkah lebih serius menangani peningkatan kes jenayah siber yang semakin membimbangkan di Terengganu.
Zuraida Md. Noor (Pas- Ladang) berkata, pada tahun lalu, sebanyak 1,330 kes jenayah siber direkodkan iaitu peningkatan sebanyak 93 kes berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu pejabat Polis Kontinjen Terengganu, nilai kerugian yang direkodkan ialah lebih RM42 juta.
“Jenayah siber ini melibatkan pelbagai bentuk penipuan termasuk pembelian dalam talian, pelaburan palsu, penyamaran sebagai pegawai kerajaan atau agensi kewangan dan pencurian data peribadi.
“Keadaan ini memerlukan perhatian serius dan tindakan segera supaya tiada lagi yang menjadi mangsa,” katanya ketika berucap dalam sesi perbahasan di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan negeri mengambil langkah pencegahan yang lebih proaktif termasuk di kawasan luar bandar dan golongan berisiko seperti warga emas serta pelajar sekolah. – UTUSAN