KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri perlu lebih berhati-hati menganjurkan program pelancongan sepanjang Ramadan supaya tidak mencemari kemuliaan bulan tersebut dengan isu-isu kontroversi seperti yang berlaku baru-baru ini.
Dr. Riduan Mohamad Nor (Pas-Jertih) berkata, sebaliknya kerajaan negeri boleh mempopularkan pelancongan patuh syariah sepanjang Ramadan dengan pelbagai program yang lebih Islamik untuk meningkatkan ketakwaan umat Islam di negeri itu.
“Sepatutnya bulan Ramadan ni, kita kerah rakyat memenuhi masjid-masjid di seluruh negeri untuk qiamullail, baca al-Quran, namun apa yang berlaku pada akhir Ramadan, hanya tinggal satu saf sahaja.
“Kita jangan tumpu di masjid sekitar Kuala Terengganu sahaja (Madinah Ramadan) tetapi perlu tengok juga masjid di Setiu, Besut dan daerah lain bagaimana sambutan pada akhir Ramadan, yang jauh ketinggalan berbanding di negeri lain.
“Terengganu perlu memuliakan Ramdan dengan memperbanyak program al-Quran seperti mana yang dilakukan Nabi Muhammad SAW, bukan program yang melalaikan kerana pelancong tetap datang ke Terengganu sekiranya kita lakukan pelancongan yang patuh syariat,” katanya ketika berucap dalam sesi perbahasan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Pada Ramadan lalu, Terengganu menjadi perhatian seluruh negara dengan tularnya beberapa video tarian ketika majlis Pelita Raya di pekarangan Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus.
Menurut Riduan, rakyat Terengganu memberi kemenangan kepada Pas hingga 40-0 (32 kerusi Dewan Undangan Negeri dan lapan kerusi Parlimen) sebagai tanda manifestasi mereka yang mahukan negeri ditadbir mengikut syiar Islam. – UTUSAN