KUALA TERENGGANU : Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini bertafakur seketika untuk menghormati pemergian Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Semua yang hadir ke persidangan itu juga membaca Al-Fatihah untuk disedekahkan kepada Allahyarham yang meninggal dunia semalam.
Yang Dipertua DUN Terengganu, Datuk Mohd. Nor Hamzah berkata, Allahyarham adalah seorang pemimpin berjiwa tenang, merendah diri, menekankan prinsip integriti, kesederhanaan dan amanah dalam pentadbiran negara.
Katanya, sepanjang menjadi pemimpin nombor satu negara daripada 2003 hingga 2009, Allahyarham meninggalkan kesan yang signifikan kepada Terengganu, khususnya dalam memperkukuh hubungan persekutuan dan negeri.
“Ini termasuk daripada aspek pembangunan infrastruktur dan pendidikan. Sumbangan Allahyarham dalam menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam, memperluas ruang dialog antara rakyat dan kerajaan serta menekankan ketelusan dalam urus tadbir memberi manfaat kepada seluruh rakyat, termasuk warga pentadbiran dan masyarakat di Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Persidangan Ketiga DUN ke-15, di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Tun Abdullah, 85, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) dan jenazah Allahyarham diberikan penghormatan Istiadat Pengkebumian negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara, petang ini. – UTUSAN