IPOH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini meluluskan usul menggantung Ketua Pembangkang, Razman Zakaria daripada menghadiri persidangan DUN selama enam bulan berkuat kuasa serta-merta.
Usul itu dibentangkan oleh Ong Boon Piow (PH-Bercham) dan disokong oleh Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) ketika Sidang DUN Perak hari ini.
Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol dikenakan tindakan tersebut selepas dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN pada 4 Disember tahun lalu.
Penggantungan itu dikuatkuasakan selepas majoriti ADUN di dewan hari ini bersetuju dengan usul menyokong laporan jawatankuasa berkenaan.
Keputusan itu dibuat susulan kenyatan Ketua Pembangkang tersebut berhubung insiden bendera negara China pada Oktober lalu.
Razman dikenakan tiga pertuduhan berkaitan kenyataannya dalam isu mengibarkan bendera tersebut, namun tindakan terhadapnya hanya satu daripada pertuduhan manakala dua lagi beliau dilepaskan. – UTUSAN