PETALING JAYA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak menggantung Ketua Pembangkang, Razman Zakaria selama enam bulan, berkuat kuasa serta-merta.
Ong Boon Piow (Pakatan Harapan – Bercham) membentangkan usul terhadap Adun Gunung Semanggol di dewan itu, yang disokong oleh Shahrul Zaman Yahya (BN- Rungkup).
Penggantungan itu dibuat selepas majoriti anggota DUN pada persidangan hari ini bersetuju terhadap usul dikenakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkenaan.
Tindakan itu diambil terhadap pemimpin Pas itu selepas dia dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan DUN pada 4 Disember tahun lepas atas dakwaan fitnah dan kenyataan berbaur perkauman.
Ini berlaku selepas pada 2 Disember, Razman memberitahu DUN Perak bahawa rakyat Malaysia telah menaikkan bendera China semasa acara yang diadakan di Teluk Intan pada 24 Oktober.