rosmiKOTA BHARU: Tujuh menara telekomunikasi termasuk di jajahan Gua Musang diluluskan pembinaannya tahun ini bagi memastikan penduduk dapat menikmati liputan talian 5G yang baik dari semasa ke semasa.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, sebanyak 232 tapak pemancar 5G dibangunkan di Kelantan sehingga 31 Januari lalu yang memberi liputan sebanyak 67 peratus di kawasan berpenduduk.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama penyedia perkhidmatan telekomunikasi sentiasa berbincang, merancang dan melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan.
“Antara langkah yang dilakukan ialah menambah lokasi baharu menara telekomunikasi, menaik taraf atau menambah kapasiti rangkaian, menjalankan ujian dan pemeriksaan secara berkala rangkaian yang ada,” katanya semasa menjawab soalan Wan Rohimi Wan Daud (Pas-Melor) mengenai langkah kerajaan negeri dalam membantu menyediakan talian penghantaran (highway) Fiber Optik pada persidangan Kali Pertama Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Wan Roslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor berkata, sebagai galakan kepada projek pembangunan infrastruktur telekomunikasi di Kelantan, kerajaan negeri mempertimbang beberapa insentif bagi memastikan peningkatan kebolehcapaian jaringan kepada rakyat.
Katanya, kerajaan negeri melaksanakan pengurangan sebanyak 50 peratus bagi bayaran fi hak akses di bawah enakmen hak akses dan penggunaan tanah infrastruktur utiliti negeri Kelantan 2022 bagi projek Pembangunan infrastruktur telekomunikasi oleh Kerajaan Persekutuan. – UTUSAN