KOTA BHARU : Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju melaksanaan sistem E-Tanah di seluruh negeri ini pada 2028 dalam usaha meningkatkan prestasi pentadbiran tanah.
Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, selain itu beberapa enakmen baharu iaitu Enakmen Pesuruhjaya Tanah Kelantan 2017, Enakmen Hak Akses dan Penggunaan Tanah Infrastruktur Utiliti Negeri Kelantan Tahun 2022 serta Enakmen Pertanian Tahun 2022 diluluskan serta sedang dilaksanakan ketika ini.
“Dalam meningkatkan prestasi pentadbiran tanah, beberapa langkah telah diambil antaranya melalui persetujuan pelaksanaan sistem E-Tanah di seluruh Kelantan.
“Kesemua enakmen ini berfungsi untuk menyokong kuasa pentadbiran tanah pihak berkuasa negeri yang diberikan di bawah Kanun Tanah Negara,” katanya semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Tumboh, Datuk Abdul Rahman Yunus pada persidangan Kali Pertama Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Mohd. Nassuruddin berkata, kerajaan negeri turut berhasrat memperkasa penguatkuasaan undang-undang tanah melalui penggunaan sistem E-Tanah kelak.
“Notis-notis yang dikeluarkan dapat dijejaki secara lebih efisien di dalam sistem daripada awal sehingga sesuatu kes tersebut selesai. Pemantauan secara dalam sistem E-Tanah juga dapat mengelakkan kes-kes notis yang luput akibat ketiadaan tindakan susulan,” katanya. – UTUSAN