ALOR SETAR: Kunjungan pelancong ke negeri ini mencatatkan perkembangan positif apabila kadar penginapan bagi tiga bulan pertama tahun ini telah mencapai tahap 58 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd. Salleh Saidin berkata, tiada data khusus berkaitan kemasukan pelancong setakat ini kerana data rasmi hanya akan diperoleh empat bulan selepas suku pertama setiap tahun.
“Namun, indikator awal menunjukkan perkembangan positif apabila kadar penginapan dari Januari hingga Mac 2025 telah mencapai 58 peratus, daripada keseluruhan 8,700 bilik hotel berdaftar di negeri ini,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.
Mohd. Salleh (PN-Kubang Rotan) berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman (PN-Tokai) yang bertanyakan jumlah kedatangan pelancong ke Kedah dan usaha yang dilakukan kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai pelancong.
Beliau berkata, sasaran seramai tujuh juta pelancong sepanjang tahun ini bersempena Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025) kekal dengan peningkatan sebanyak 35 peratus berbanding 5.2 juta pelancong tahun lalu.
Tambahnya, usaha promosi TMK 2025 giat dijalankan dengan kerjasama Kedah Tourism Sdn. Bhd. serta beberapa agensi lain bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke negeri ini yang bukan sahaja bertujuan meningkatkan jumlah pelancong, malah memberi impak positif kepada ekonomi penduduk setempat.
“TMK 2025 berpaksikan kepada lima komponen utama iaitu sumber alam semula jadi, gastronomi, seni, budaya dan sejarah, sebagai asas memperkenalkan keunikan Kedah kepada pelancong dari dalam dan luar negara.
“Sebagai inisiatif memperluas capaian maklumat, Kedah Tourism turut melancarkan Kalendar Acara TMK 2025 secara digital yang boleh diakses oleh semua pihak pada bila-bila masa,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 170 program pelancongan dirancang sepanjang TMK 2025, termasuk 45 acara yang dikategorikan sebagai acara utama atau ‘event highlights’ yang dijangka menarik penyertaan ramai.
Katanya, program-program itu turut diadun bersama elemen sukan dan pengisian rohani bagi menambah daya tarikan serta memberi pengalaman yang lebih menyeluruh kepada para pengunjung.
Menurut Mohd Salleh, kolaborasi bersama pelbagai agensi kerajaan dan swasta juga memainkan peranan penting dalam menjayakan program pelancongan negeri.
“Sebagai contoh, program Iftar Ramadan Experience Kedah yang diadakan setiap Jumaat sepanjang Ramadan lalu di Dataran Medan Bandar, depan Masjid Zahir mendapat sambutan menggalakkan termasuk dari pelancong luar negeri seperti Perlis, Pulau Pinang dan Perak.
“Lebih banyak program bakal dilaksanakan selepas ini bagi memperhebat kempen TMK 2025, sekaligus memperkukuh kedudukan Kedah sebagai destinasi utama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya. – UTUSAN