KUALA LUMPUR: “Saya pernah menerima berguni-guni kad ucapan Hari Raya. Ketika itu saya gigih membalas satu persatu.”
Demikian perkongsian Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengimbas kenangan manis menyambut hari lebaran sebagai anak seni sebelum wujudnya platform digital.
Kongsi Siti Nurhaliza, sejak tahun pertama bergelar artis selepas memenangi Bintang HMI 1995, dia menerima sambutan luar biasa daripada peminat yang tidak putus-putus menghantar kad ucapan Hari Raya.
“Kalau dulu, boleh dikatakan selepas sebulan berhari raya, kami masih membalas kad ucapan Hari Raya yang dihantar.
“Apa yang saya lakukan ini bagi memastikan peminat dapat jawapan dan seronok. Begitulah kenangan dulu-dulu, sekarang dah berbeza.
“Kalau diikutkan tahun pertama jadi artis sudah dapat kad Hari Raya. Kemudian tahun berikutnya makin bertambah sampai pejabat pos telefon, ‘awak boleh tak ambil kereta atau van, ada berguni-guni kad ucapan Hari Raya daripada peminat’,” katanya ketawa.
Tambah penyanyi lagu Raya Nak Ke Mana? itu, kini beliau sudah tidak lagi menerima kad Hari Raya sebaliknya menerima ucapan secara digital.
“Sekarang ini sudah tidak ramai yang menghantar kad ucapan Hari Raya sebab semua sudah menggunakan secara digital.
“Sekarang ini saya hanya terima kad Hari Raya dalam bentuk fizikal, mungkin ada satu saja, yang mana dia masih nak mengekalkan memori dengan kad ucapan. Kebanyakannya dah guna kad digital, malah senang juga untuk menghantar dengan satu klik.
“Itu momen yang saya takkan lupakan. Seronok dapat rasa perbezaan ini,” katanya. – UTUSAN