KUALA LUMPUR: Dua lelaki warganegara Pakistan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah ketamine berjumlah 191,279.6 gram, enam tahun lalu.
Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Wahab, 60, dan Muhammad Rafiq, 52, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
“Hukuman gantung di leher sampai mati,” kata hakim itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi dan Muhammad Amin Azmi manakala kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili peguam-peguam bela, A. Venkateswari dan A. Rajee.
Seramai 19 saksi pendakwaan dan enam saksi pembelaan, termasuk kedua-dua tertuduh dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 2020.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Abdul Wahab dan Muhammad Rafiq didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis ketamine masing-masing seberat 126,502 gram dan 63,790 gram di dua buah premis di Jalan Munshi Abdullah, Dang Wangi di sini dan Taman Teluk Gedung Indah, Klang pada 25 Mac 2019 sekitar pukul 4.30 petang dan 10.30 malam.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.
Abdul Wahab turut didakwa atas satu lagi pertuduhan mengedar dadah jenis sama (ketamine) seberat 987.6 gram pada tempat, tarikh dan masa serupa.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman serupa. – UTUSAN