TANGKAK: Dua remaja maut apabila motosikal ditunggang mereka melanggar sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan dalam kejadian di Taman Bandar Baru, Bukit Gambir, di sini petang tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Farizan Mokhtar, pihaknya menerima panggilan tentang nahas itu pada pukul 1.28 petang.
“Setibanya pihak bomba di tempat kejadian, didapati sebuah motosikal Yamaha LC 135 telah melanggar sebuah lori Hino yang diparkir di bahu jalan.
“Terdapat dua mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Muhammad Afiq Rusyaidi Abdul Rashid, 18, dan Muhammad Farhan Danial Mohd Fauzi, 17.
“Mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – UTUSAN