Dua penjenayah samun taska diberkas

Dua penjenayah samun taska diberkas

HUSSEIN Omar Khan pada sidang akhbar di Shah Alam, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dua penjenayah yang disyaki terlibat dalam kes samun berparang di sebuah taska di Tali Air 11, Pasir Panjang, Sabak Bernam, berjaya dicekup polis semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dua suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan pihaknya di sekitar Kelana Jaya dan daerah ini.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki tempatan itu mengaku terlibat dalam kes itu. 

“Polis turut merampas sebuah Perodua Bezza yang digunakan suspek dalam kejadian itu selain sebilah parang sepanjang 72 sentimeter,” katanya pada sidang akhbar petang ini.

Menurut beliau, semakan lanjut turut mendapati kereta itu mempunyai rekod dilaporkan hilang di Sungai Way, Petaling Jaya. 

“Dua suspek juga disahkan positif dadah dan memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta samun. Siasatan masih dilakukan bagi mengesan seorang lagi suspek terlibat,” ujarnya.

Tambah Hussein, kes itu sisiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Media  semalam melaporkan suasana taska itu gempar apabila disamun tiga lelaki bersenjatakan parang sebelum bermula sesi pembelajaran kelmarin 

Kejadian kira-kira pukul 9.35 pagi itu berlaku ketika dua guru wanita dan seorang pembantu dapur sedang menunggu kehadiran murid di taska tersebut.

Kesemua suspek tempatan itu melarikan dua utas rantai emas dan sebuah telefon bimbit selain turut menampar seorang daripada guru berkenaan. Namun, tiada kanak-kanak yang cedera dan hanya melibatkan kerugian dialami dua guru taska berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Hussein memaklumkan, pihaknya akan memanggil seorang pelakon lelaki bagi membantu siasatan kes memukul teman wanitanya sehingga mengalami kecederaan, baru-baru ini.

Katanya, polis telah menerima laporan pada 7 April lalu daripada mangsa yang dipukul di sekitar kawasan Ara Damansara, Petaling Jaya. 

Jelasnya, mangsa mengalami kecederaan di badan dan muka selepas dipukul dengan tangan oleh suspek.

“Kami akan memanggil suspek dalam masa terdekat bagi melengkapkan kertas siasatan kes itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tambah Hussein rekod menunjukkan wanita sama pernah membuat laporan polis tahun lalu atas kejadian sama dipukul oleh suspek sama.

“Namun, laporan itu telah ditarik balik oleh mangsa sendiri sebelum ini. Jadi, ini merupakan kejadian kali kedua (melibatkan pelakon itu),” ujarnya.

Media semalam melaporkan pelakon, Ammar Alfian menepis tuduhan memukul teman wanitanya sekali gus menganggap laporan polis dilakukan kekasihnya itu adalah tindakan tergesa-gesa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya