Dua geng ah long lempar bom petrol diberkas - Utusan Malaysia

Dua geng ah long lempar bom petrol diberkas

NOOR Hisam Nordin (dua dari kanan) bersama pegawai kanan polis pada Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis berjaya melumpuhkan kegiatan sindiket ah long yang melakukan perbuatan khianat dengan api selepas menahan dua lelaki termasuk seorang warga Taiwan, kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, tangkapan terhadap suspek berusia 37 dan 26 tahun itu dijalankan di sebuah hospital swasta dekat Ipoh dan kawasan perumahan di Chemor sekitar pukul 12 tengah hari.

Katanya, kedua-dua lelaki terbabit dipercayai terlibat dalam kejadian melontar bom petrol atau ‘molotov cocktail’ yang menyebabkan kebakaran sebuah rumah di Kampung Rapat pada 4 April lalu.

“Berdasarkan siasatan, kedua-dua suspek itu mengenali satu sama lain melalui laman sosial sejak Ogos tahun lalu dan mula terlibat dalam kegiatan khianat dengan api pada bulan lalu.

“Siasatan mendapati, kegiatan jenayah ini diperoleh daripada seorang ejen dari negara jiran melalui Facebook dan mereka akan dibayar sebanyak 300 dolar Singapura (RM1,008) bagi seorang mangsa,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, semakan terhadap telefon bimbit kedua-dua suspek mendapati terdapat beberapa alamat rumah lain yang tidak mempunyai laporan polis.

Katanya, tangkapan terhadap kedua-dua suspek itu berjaya menyelesaikan sebanyak lapan kes khianat dengan api di negeri ini.

“Semasa tangkapan dijalankan, kita merampas beberapa barang termasuk dua helai nota ugutan, satu tong berisi minyak petrol, satu botol air mineral berisi petrol, buku nota, tiga buah telefon bimbit dan sebuah kereta jenis Proton Iswara.

“Kedua-dua suspek ditahan reman tiga hari sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan khianat dengan api,” katanya.

Menerusi laporan media sebelum ini, lima laporan polis berhubung kejadian melemparkan bom petrol di sebuah rumah di Kampung Rapat dibuat seorang wanita berusia 62 tahun antara 26 Mac hingga 4 April lalu.

Berdasarkan siasatan di lokasi kejadian, mangsa memberitahu pernah menerima ugutan melalui nota yang ditinggalkan di hadapan pagar rumah.

Nota itu meminta mangsa membayar hutang dan bom petrol juga dibaling ke dalam kawasan rumahnya sebanyak lima kali hingga menyebabkan kebakaran pada pagar rumah, kawasan tempat letak kereta, pintu hadapan dan dinding. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya