BUKIT MERTAJAM: Pemandu dan penumpang sebuah lori cedera apabila kenderaan yang membawa muatan kayu palet itu bertembung dengan sebuah kereta Mercedes Benz di persimpangan lampu isyarat Jalan Kebun Sireh di sini, awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, mangsa yang cedera dikenali sebagai Zakaria Shari, 74, dan Ahmad Zaim Zakaria, 18.
Beliau berkata, kedua-dua mereka hanya mengalami kecederaan ringan kerana tersepit dalam lori susulan kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 10.48 pagi.
“Kedua-dua mangsa yang cedera itu telah diberikan rawatan oleh pasukan perubatan Persatuan Bantuan Kecemasan Bukit Mertajam, sebaik sahaja berjaya dikeluarkan dari kenderaan terbabit.
“Sementara itu, pemandu kereta yang berusia 43 tahun, bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Tambah Mohamad Shoki, kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan turut dijalankan bagi memastikan tiada sebarang bahaya lain yang timbul susulan insiden.
“Usaha menyelamat serta kerja-kerja pembersihan berjalan lancar dan operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira pukul 12.10 tengah hari tadi,” ujarnya. – UTUSAN