GEORGE TOWN : Dua anggota polis direman selama enam hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini berhubung kes meminta suapan ketika bertugas.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin terhadap kedua-dua suspek yang masing-masing berpangkat Lans Koperal dan Koperal serta berusia 28 dan 39 tahun itu.
Terdahulu, mereka berdua tiba di pekarangan mahkamah berkenaan kira-kira pukul 9.50 pagi dengan diiringi oleh beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, kedua-dua anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) itu dipercayai telah meminta wang suapan daripada seorang pengadu yang dikatakan terbabit dalam satu kes berkaitan dadah.
Katanya, kejadian itu berlaku di sebuah pangsapuri di Bayan Baru kira-kira pukul 3 pagi semalam.
Sumber yang sama juga memaklumkan, pengadu kemudian terpaksa menyerahkan wang tunai sebanyak RM1,500 kepada mereka setelah diminta untuk berbuat demikian.
“Wang tersebut diserahkan menerusi dua transaksi iaitu secara online (dalam talian) sebagai balasan agar dia (pengadu) tidak dikenakan tindakan (berhubung kes dadah),” katanya yang memberitahu, anggota terbabit turut mengugut untuk menyita motosikal milik mangsa ketika itu seandainya tidak menerima bayaran tersebut.
Ujarnya, kedua-dua suspek bagaimanapun berjaya ditahan di Balai Polis Bayan Baru kira-kira pukul 7.35 malam dan 9 malam tadi sebelum dibawa ke Ibu Pejabat SPRM negeri di sini.
Katanya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.-UTUSAN