Draf perintah wajibkan fasiliti kesihatan swasta papar harga ubat masih di AGC

Draf perintah wajibkan fasiliti kesihatan swasta papar harga ubat masih di AGC

ARMIZAN Mohd. Ali menyampaikan sumbangan duit raya kepada pelajar pada Majlis Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN Ke-53 di KPDN Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Draf perintah bagi mewajibkan fasiliti kesihatan swasta memaparkan harga produk ubat-ubatan mulai 1 Mei ini masih berada di peringkat Jabatan Peguam Negara (AGC).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, segala butiran terperinci mengenai kaedah paparan harga dan hal-hal berkaitan mekanisme berkenaan akan diketahui dengan lebih lanjut selepas draf tersebut diluluskan.

“KKM (Kementerian Kesihatan) sendiri telah maklumkan pada 1 Mei, sekarang draf perintah tersebut berada di Jabatan Peguam Negara dan kita (masih) menanti, sebaik Jabatan Peguam Negara meluluskan perintah tersebut, di dalamnya ada butiran bagaimana kaedah paparan harga dan sebagainya.

“Namun, jangan khuatir, pada peringkat awal penguatkuasaan, bukan kita akan terus ambil tindakan. Kita beri tempoh untuk mereka membuat persiapan dan tempoh advokasi sebelum penguatkuasaan akan mula diambil atau tindakan kompaun mula dilaksanakan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Sambutan Hari Penguat Kuasa Ke-53 KPDN, di sini hari ini.

Media pada November tahun lalu melaporkan, KKM mulai 2025 akan mewajibkan pemaparan harga ubat di fasiliti kesihatan swasta bagi meningkatkan ketelusan harga.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, inisiatif ini akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

Bagaimanapun, pelaksanaan penguatkuasaan paparan harga ubat di klinik dan hospital swasta tersebut ditangguhkan sehingga 1 Mei ini, susulan sesi libat urus antara KKM dan Kumpulan Pengamal Perubatan Am (GP) Swasta.

Dalam pada itu, Armizan menjelaskan bahawa mekanisme pemaparan harga ubat berkenaan adalah tidak bertentangan dari segi perundangan dan kementerian hanya bertindak untuk melindungi kepentingan semua pihak khususnya pengguna.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan sesetengah pihak mengapa mereka mahu produk ubat-ubatan tersebut dikecualikan daripada dipaparkan harga kepada pengguna.

“Jadi saya harap kepada pihak yang berkenaan, kalau masih mahu ‘push agenda’ mereka, bantu saya untuk jawab kepada pengguna dan rakyat, kenapa perlu dikecualikan?

“Harga barangan lain seperti harga emas dan semua jenis barangan dipaparkan tetapi kenapa perlu ada pengecualian pula, harga ubat tidak boleh?” soalnya.

Armizan juga menegaskan, pelaksanaan mekanisme tersebut bukan bermaksud kerajaan mahu mengawal harga produk ubat-ubatan, tetapi mengharapkan semua pihak bertanggungjawab dalam menjual barangan dan perlu telus memaklumkan kepada pengguna tentang harga produk tersebut.

“Harga ayam pun berubah-ubah (ini kerana) saya ‘monitor’ harga ayam, daging dan ikan setiap hari ada pergerakan turun dan naik, begitu juga harga ubat.

“Sebagaimana saya sebut, kita bukan hendak kawal harga ubat, kita hanya mahu dipaparkan harga, contohnya ada pergerakan yang signifikan terhadap harga ubat tersebut, mereka boleh tukar paparan harga, apa yang penting rakyat ada akses kepada harga itu.

“Kita tidak mahu rakyat hanya tahu harga ubat itu setelah mereka membeli, menggunakan perkhidmatan atau barangan tersebut. Saya fikir lebih wajar rakyat ada akses dan mereka tahu apa yang mereka bayar sebelum membuat pembayaran tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya