SEPANG: Mahkamah Sesyen Sepang, di sini hari ini melepas dan membebas Pengasas The KL Sky Clinic, Dr Roland Victor daripada pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik berhubung vaksin Covid-19.
Hakim Ahmad Fuad Othman menetapkan keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes beyond reasonable (melampaui keraguan yang munasabah).
“Pada peringkat ini saya telah meneliti bukti pendakwaan dan pembelaan, saya tidak nampak apa yang dikatakan oleh Dr. Roland ini terjumlah dalam jelik.
“Tidak ada juga keterangan, baik dari segi saksi pendakwaan ataupun pembelaan yang menyatakan bahawa apa yang dikatakan oleh Dr. Roland adalah tidak benar ataupun jelik.
“Maka dengan itu saya membuat keputusan, pihak pendakwaan telah gagal untuk menimbulkan kes beyond reasonable,” katanya.
Pada 5 Julai 2021, Dr. Roland didakwa membuat dan memulakan hantaran video bersifat jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menggunakan laman profil Facebook The KL Sky Clinic pada 10.30 malam 7 Februari 2021.
Susulan itu, beliau telah didakwa mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya serta berdepan denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Prosiding hari ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Saifuddin Rafiee manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal. – UTUSAN