KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir ke Masjid Negara bagi memberi penghormatan akhir kepada Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Bekas Perdana Menteri itu hadir bersama dengan isteri, Tun Hasmah Mohamad Ali serta anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tiba di sini kira-kira 11 pagi.
Beliau meluangkan masa sekitar 10 minit bagi memberi penghormatan dan membaca doa untuk Abdullah yang mesra dikenali sebagai Pak Lah.
Kedua-dua pemimpin itu mempunyai sejarah yang panjang, di mana sewaktu Mahathir menjadi Perdana Menteri pada 1999 manakala Abdullah menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Abdullah meninggal dunia pada usia 86 tahun iaitu pada semalam di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Pasukan perubatan yang bertanggungjawab merawat Abdullah di IJN memaklumkan bahawa Allahyarham mengalami masalah pernafasan lalu dimasukkan ke dalam wad sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya.
Allahyarham merupakan Perdana Menteri kelima yang berkhidmat dari tahun 2003 sehingga 2009 bagi menggantikan Dr. Mahathir.-UTUSAN