SUNGAI PETANI: Niat seorang lelaki mahu mengadakan majlis akikah anaknya terpaksa diubah menjadi jamuan biasa apabila mendakwa menjadi mangsa ‘scam’ sebuah syarikat katering.
Mangsa mendakwa, hasrat mahu melakukan majlis akikah pada hari raya ketiga itu tidak boleh diteruskan disebabkan tiada lembu yang khusus untuk ibadah itu.
Dakwanya, episod malang bermula apabila pihak katering menghubungi ibunya kira-kira pukul 3 pagi pada hari kejadian bagi memaklumkan kononnya lembu yang mahu disembelih untuk akikah telah dijual oleh tuannya kepada orang lain.
“Kononnya dia sendiri kena scam dan siap buat laporan polis palsu, nak nampak macam dia mangsa. Tapi dia janji tetap masak guna daging segar dari pasar supaya kenduri boleh berjalan. Kami bagi peluang sebab jemputan dah ramai, tak boleh nak batal saat-saat akhir,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Ujar mangsa, majlis jamuan itu juga akhirnya bermasalah apabila makanan tiba lewat, selain juadah dihantar tidak mencukupi.
“Janji makanan sampai pukul 10 ke 11 pagi tetapi 12 tengah hari baru tiba, padahal tetamu dah penuh. Sampai-sampai, dia hidang tetapi bekas lauk penuh habuk, saya sendiri kena lap. Lauk tak cukup, gulai rebung cair, kambing golek tak cukup untuk 50 orang pun, air sirap tawar macam air paip,” dakwanya.
Katanya, dia telah membuat pembayaran sebanyak RM5,410 tetapi modal bagi juadah diterima tidak sampai RM1,500 selain menu daging kurma dan rendang yang dijanjikan tidak ada sehingga majlis tamat.
“Kami bagi dia peluang balik masak baki lauk tetapi disebabkan orang dah ramai, kami terpaksa teruskan masak sendiri. Selepas dia janji nak patah balik kononnya nak masak lauk baki, rupanya dia buat laporan polis kata kami memprovokasinya,” dakwanya.
Dakwanya, kira-kira pukul 3 petang, pihak katering terbabit datang semula dengan sebuah van syarikat penghantaran yang dikatakan disewa tanpa membawa sebarang lauk seperti dijanjikan.
“Bila tanya mana lauk, dia jawab hanya datang nak ambil barang dan tak turun dari van. Dia msengaja provokasi kami serta nak kami pukul dia supaya ada modal nak buat laporan polis lagi.
“Bila minta pulang semula duit separuh (RM3,000), dia mula ugut. Polis sampai, baru bayar. Laporan polis kami juga sudah dibuat supaya apa-apa terjadi kami bersedia,” katanya.
Katanya, dia juga mendakwa mendapat tahu ada mangsa lain yang pernah terkena dengan pihak katering sama selepas dia memviralkan nama syarikat itu di media sosial.
Sementara itu, Utusan Malaysia sedang mendapatkan pengesahan dengan pihak polis berhubung kejadian terbabit.-UTUSAN