TAPAH: Ketua Pembangkang, Razman Zakaria yang digantung daripada menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berkempen membantu calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu menyampaikan ceramah di dua lokasi iaitu di Sungai Lesong dan pekan Ayer Kuning.
Dalam ucapannya, Razman akur dengan keputusan penggantunga beliau dan berharap pengundi Ayer Kuning memberikan sokongan memenangkan calon PN.
“Pengundi Ayer Kuning perlu tunjuk satu isyarat, referendum menangkan calon PN. Walaupun menang tiada perubahan apa-apa (kerajaan negeri) tetapi PN kini mempunyai 26 wakil rakyat. Ada 27 (jika menang PRK DUN Ayer Kuning).
“Cari tiga lagi untuk bentuk kerajaan negeri pada PRU16,” katanya.
Katanya, tidak pernah berlaku dalam sejarah negara Ketua Pembangkang DUN digantung.
“Ini yang letih, yang buat usul digantung ialah DAP, yang sokong wakil rakyat UMNO. Ini merupakan sejarah ketua pembangkang digantung selama enam bulan,” katanya..
Razman digantung daripada menghadiri persidangan DUN selama selama enam bulan berkuat kuasa semalam selepas dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN pada 4 Disember 2024.
Usul itu dibentangkan oleh Ong Boon Piow (PH-Bercham) dan disokong oleh Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) semasa persidangan DUN Perak.
Keputusan penggantungan itu diumumkan Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid selepas majoriti anggota DUN pada persidangan semalam bersetuju terhadap usul memperakukan laporan jawatankuasa berkenaan yang bersidang pada 14 April 2025.
Keputusan itu dibuat susulan kenyatan Ketua Pembangkang tersebut berhubung insiden bendera negara China di Teluk Intan pada Oktober lalu. – UTUSAN