PETALING JAYA: “Tak kisah nak buat bising dalam pawagam, tapi jangan sampai mengganggu orang lain. Bila ditegur, cara dia jawab macam memerli.”
Demikian luahan pelakon, Imran Aqil yang berang dengan sikap kurang ajar seorang individu yang ditemuinya ketika menonton filem filem Blood Brothers: Bara Naga bersama keluarganya, baru-baru ini.
Menurut Imran, individu terbabit telah bertindak mengeluarkan kata-kata lucah ketika menonton filem terbabit selain mengganggu ketenteraman penonton lain di dalam panggung wayang.
“Aku rasa kita ini kurang ‘common sense’ sebab ada benda terjadi dekat diri aku semalam. Aku bawak keluarga mentua tengok Blood Brothers dekat wayang.
“Tempat duduk belakang aku ada sekumpulan lelaki. Aku ambil inisiatif untuk tegur individu itu. Aku tak kisah bising, tapi dia dah mengganggu. Bila tegur, cara dia jawab macam memerli.
“Salah seorang dari mereka melucah terhadap satu babak dan membuat isteri serta keluarga mentua saya tidak selesa,” katanya menerusi sebuah hantaran video di TikTok.
Tambah Imran, individu tersebut juga bertindak kurang ajar dengan memerlinya selepas ditegur supaya tidak membuat bising semasa filem ditayangkan.
Malah, individu tersebut turut meminta bekas peserta Hero Remaja itu pergi ke perpustakaan sekiranya tidak mahu persekitarannya bising.
“Aku keluar slow-slow sebab malas nak terserempak dengan individu itu. Dia mungkin segan sebab aku tegur dia depan kawan-kawan.
“Rupanya, individu itu juga datang ke arah aku. Dia suruh aku pergi perpustakaan kalau nak keadaan senyap,” jelasnya.
Enggan memanjangkan isu tersebut, Imran memaklumkan bahawa dua orang rakan kepada lelaki itu tampil memohon maaf bagi pihak individu tersebut.
Dalam perkongsian tersebut, Imran juga sempat menasihatkan orang ramai agar menerapkan adab di tempat awam agar tidak menganggu ketenteraman orang lain.