PETALING JAYA: Demi menghasilkan sebuah babak, pelakon, Riena Diana berani menyahut cabaran untuk meludah aktor senior, Faizal Hussein menerusi drama bersiri Bidaah.
Menurut Riena, pada awalnya dia tidak berani untuk melakonkan babak tersebut namun berjaya melakukannya demi memenuhi kehendak pengarah.
“Kena ludah Faizal Hussein, ampun Walid. Masa buat babak ini banyak kali saya tanya pengarah dan abang (Faizal) kalau tidak buat tak boleh ke? Sebab takut.
“Tapi sebab mereka faham dan sempoi, dan kena faham bahawa ini hanya lakonan, saya buat juga,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Menerusi hantaran tersebut, Riena yang menjayakan watak sebagai Baiduri menerusi drama sensasi itu turut memuat naik video babak yang telah dipotong tersebut.
Sementara itu, Riena juga sempat menzahirkan ucapan terima kasih kepada penonton yang menyokong drama yang turut meraih populariti di negara jiran, Indonesia.
“Terima kasih buat mereka yang menyokong drama Bidaah terutamanya warga Indonesia,” katanya lagi.
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut turut dihujani komen positif yang rata-ratanya memuji kehebatan Riena menjayakan drama itu.
Terdahulu, drama terbitan Erma Fatima itu telah mengundang pelbagai reaksi daripada sesetengah agamawan yang kurang bersetuju apabila kisah ajaran sesat serta beberapa babak sensasi dipertontonkan secara umum.
Namun, kontroversi tersebut turut mendorong drama tersebut meraih jumlah tontonan yang tinggi serta memperoleh populariti yang luar biasa di Malaysia dan Indonesia.-UTUSAN