KUALA TERENGGANU : Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan pendedahannya berhubung isu dilabel di bawah kawalan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) adalah untuk meraih undi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, pada 26 April ini.
Sebaliknya, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata, beliau baru dimaklumkan mengenai status TCO itu ketika ditahan di Lapangan Terbang Antabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sabah pada 6 dan 7 April lalu.
“(Pendedahan) bukan untuk PRK, sebab saya pun hanya dimaklumkan mengenai perkara itu pada hari saya ditahan.. Saya tanya sejak bila ni saya kena TCO, (mereka jawab) sejak 2024. Ini kali pertama saya ditahan begitu kerana sebelum ini keluar masuk saya adalah melalui Lapangan Terbang Antabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan laluan VIP (orang kenamaan).
“Adakah individu lain yang turut dikategorikan status TCO turut dikenakan tindakan sama (ditahan) seperti saya? Tidak, mereka bebas sahaja, tiada masalah pun,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Pembukaan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, beliau ke Sabah dan beratur di laluan orang awam di KKIA pada tarikh tersebut kerana kemasukannya ke negeri itu adalah atas urusan peribadi.
“Sebelum ini tiada masalah untuk ke mana-mana destinasi di luar negara kerana saya menggunakan laluan VIP di KLIA, mungkin tidak nampak (pemantauan TCO) kerana saya tidak ditahan.
“Apa yang berlaku di KKIA, saya ditahan di depan orang ramai yang saya rasa saya tidak boleh terima kerana saya hendak ke Sabah sahaja pun bukan ke Amerika atau Filipina atau mana-mana negara berisiko yang lain,” katanya.
Ditanya mengenai kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang menegaskan tiada keperluan meletakkan Ahmad Samsuri dalam Senarai Pekeliling Khas (SPK) kerana beliau bukan seorang penjenayah, Ahmad Samsuri berkata, dia akan ke luar negara selepas ini untuk mengesahkan kenyataan tersebut.
“Saya akan test dulu, mungkin saya akan pergi ke Singapura. Pagi saya pergi, tengok kena TCO ke tidak. Lepas tu tengah hari balik dan petang pergi semula. Kalau setiap kali pergerakan saya keluar masuk tu dilaporkan kepada special branch (cawangan khas), bermakna ada lagi (TCO),” katanya. – UTUSAN